TAHUKAH anda, kekerapan membuang air kecil sebenarnya turut
menentukan tahap kesihatan pundi kencing anda? Keinginan atau gesaan membuang
air kecil bukan sekadar masalah kecil tetapi turut menjadi petanda anda berkemungkinan
besar mengalami gejala dikenali pundi kencing terlalu aktif atau Overactive
Bladder (OAB).
1- Ramai yang salah faham mengenai masalah ini apabila
menganggap OAB sesuatu yang lumrah padahal ia sebenarnya boleh dirawat.
Tindakan membiarkan masalah itu berlarutan sebaliknya boleh mengundang padah
kerana ia menjejaskan kehidupan lelaki dan wanita pada semua peringkat umur.
2- Majoriti mereka yang mengalami masalah kesihatan ini
lebih sanggup menderita dalam diam daripada berkongsi dengan rakan-rakan rapat,
keluarga mahupun pakar kesihatan. Mereka memberi alasan malu atau menganggap ia
sebahagian daripada kesan dari peningkatan usia. Masalah sukar kawal kencing
(incontinent) atau inkontinens turut menjejaskan kehidupan seharian.
3- Anggapan masalah ini cuma dihadapi mereka di peringkat
usia lanjut sama sekali tidak tepat kerana gadis remaja juga tidak terkecuali.
Kajian yang dilakukan ke atas wanita di 11 negara di Asia mendapati 53.1%
individu berusia di antara 29 hingga 59 dibelenggu masalah itu.
4- Apakah puncanya OAB ? Ia disebabkan keadaan pundi kencing
yang terlalu aktif sehingga menyebabkan pesakit perlu kerap ke tandas. Rasa
terdesak untuk buang air kecil, diikuti kekerapan dan perlu bangun sehingga dua
kali atau lebih pada waktu siang atau malam untuk kencing adalah antara tanda
paling penting OAB.
5- Bagaimanapun, OAB juga wujud pada individu yang mempunyai
sistem saraf yang normal. Sebagai contoh batu karang, jangkitan saluran kencing
atau ketumbuhan pundi kencing boleh menyebabkan aktiviti melampau pada otot
‘detrusor’ yang membawa gejala OAB.
6- Kekerapan bermaksud pesakit OAB berulang ke tandas
berkali-kali manakala terdesak/gesaan menjelaskan rasa terdesak untuk membuang
air kencing yang sukar ditangguh. Bangun malam pula merujuk kepada perbuatan
sering bangun malam untuk membuang air kecil. Antara semua tanda-tanda ini,
kekerapan adalah gejala yang paling penting dalam membuat penilaian OAB.
7- Keadaan ini bukan saja merimaskan malah menyusahkan
pesakit. Bayangkan mereka terpaksa ke tandas sebegitu kerap. Malah rasa gelisah
sering melanda apabila mereka terpaksa melakukan tugasan penting seperti
bermesyuarat sedangkan mereka asyik ke tandas.
8- Selain itu, tidur dan rehat pesakit dan pasangannya juga
boleh terganggu kerana sering terbangun malam untuk buang air kecil. Masalah
itu menyebabkan penghidap OAB terpaksa remeh memikirkan lokasi tandas
berhampiran tempat dituju. Akibatnya, mereka berasa tertekan, menyisihkan diri
dan mengehadkan aktiviti yang menyebabkan kesejahteraan dan kualiti hidup
terjejas.
9- Ramai penghidap OAB keberatan untuk mendapatkan rawatan
walaupun sekian lama terganggu akibat desakan untuk ke tandas. Ada yang malu
untuk membincangkan secara terbuka manakala ramai yang menyangka ia adalah
sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlukan perhatian dari segi
perubatan.
10- OAB adalah penyakit yang boleh dirawat dengan bantuan
perubatan. Malah amalan senaman yang betul seperti senaman Kegel untuk melatih
otot pelvik, otot vagina; stimulasi elektrikal lantai pelvik selain
terapi untuk melatih tabiat buang air kecil yang lebih sistematik boleh
membantu.
11- Jenis ubatan yang digunakan untuk melegakan masalah
kesihatan ini ialah Oxybutinin (Ditropan), Tolterodine, Darifenacin dan terbaru
dalam kumpulannya ialah Solifenacin atau Vesicare.
9 Faktor Risiko
OAB
# Usia yang lanjut (20% populasi berusia 70 ke atas mungkin
akan melaporkan tanda OAB)
# Kecederaan saraf tunjang
# Penyakit Parkinson
# Diabetes
# Pembesaran prostat
# Hamil kembar
# Dementia
# Pembedahan prostat
# Strok
9 Tips Tangani OAB:
# Jauhi minuman kafein.
# Ambil kira jumlah pengambilan cecair dan waktu
pengambilannya.
# Latih pundi kencing untuk melewatkan sedikit gesaan ke
tandas apabila terasa ingin kencing.
# Amalkan pengambilan makanan yang kaya dengan serat atau
ambillah makanan tambahan yang berserat.
# Jadualkan waktu untuk anda membuang air kecil setiap hari.
Misalnya, setiap dua atau tiga jam sekali. Ia lebih baik daripada anda ke
tandas hanya selepas terasa ingin membuang air kecil.
# Lakukan senaman otot lantai pelvik bagi menguatkan otot
berkenaan dan saluran kencing anda.
# Pakai pelapik seluar dalam bagi mengelakkan anda terkucil.
# Sesetengah orang berhadapan dengan masalah untuk
mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya. Justeru, tunggu beberapa minit
selepas membuang air kecil untuk membuang air kecil kali kedua. Ini bagi
memastikan pundi kencing benar-benar kosong.
# Kekalkan berat badan yang ideal.
No comments:
Post a Comment