Tuesday, August 12, 2014

11 Fakta - Kerap Kencing Tanda Penyakit


TAHUKAH anda, kekerapan membuang air kecil sebenarnya turut menentukan tahap kesihatan pundi kencing anda? Keinginan atau gesaan membuang air kecil bukan sekadar masalah kecil tetapi turut menjadi petanda anda berkemungkinan besar mengalami gejala dikenali pundi kencing terlalu aktif atau Overactive Bladder (OAB).

1- Ramai yang salah faham mengenai masalah ini apabila menganggap OAB sesuatu yang lumrah padahal ia sebenarnya boleh dirawat. Tindakan membiarkan masalah itu berlarutan sebaliknya boleh mengundang padah kerana ia menjejaskan kehidupan lelaki dan wanita pada semua peringkat umur.

2- Majoriti mereka yang mengalami masalah kesihatan ini lebih sanggup menderita dalam diam daripada berkongsi dengan rakan-rakan rapat, keluarga mahupun pakar kesihatan. Mereka memberi alasan malu atau menganggap ia sebahagian daripada kesan dari peningkatan usia. Masalah sukar kawal kencing (incontinent) atau inkontinens turut menjejaskan kehidupan seharian.

3- Anggapan masalah ini cuma dihadapi mereka di peringkat usia lanjut sama sekali tidak tepat kerana gadis remaja juga tidak terkecuali. Kajian yang dilakukan ke atas wanita di 11 negara di Asia mendapati 53.1% individu berusia di antara 29 hingga 59 dibelenggu masalah itu.

4- Apakah puncanya OAB ? Ia disebabkan keadaan pundi kencing yang terlalu aktif sehingga menyebabkan pesakit perlu kerap ke tandas. Rasa terdesak untuk buang air kecil, diikuti kekerapan dan perlu bangun sehingga dua kali atau lebih pada waktu siang atau malam untuk kencing adalah antara tanda paling penting OAB.

5- Bagaimanapun, OAB juga wujud pada individu yang mempunyai sistem saraf yang normal. Sebagai contoh batu karang, jangkitan saluran kencing atau ketumbuhan pundi kencing boleh menyebabkan aktiviti melampau pada otot ‘detrusor’ yang membawa gejala OAB.

6- Kekerapan bermaksud pesakit OAB berulang ke tandas berkali-kali manakala terdesak/gesaan menjelaskan rasa terdesak untuk membuang air kencing yang sukar ditangguh. Bangun malam pula merujuk kepada perbuatan sering bangun malam untuk membuang air kecil. Antara semua tanda-tanda ini, kekerapan adalah gejala yang paling penting dalam membuat penilaian OAB.

7- Keadaan ini bukan saja merimaskan malah menyusahkan pesakit. Bayangkan mereka terpaksa ke tandas sebegitu kerap. Malah rasa gelisah sering melanda apabila mereka terpaksa melakukan tugasan penting seperti bermesyuarat sedangkan mereka asyik ke tandas.

8- Selain itu, tidur dan rehat pesakit dan pasangannya juga boleh terganggu kerana sering terbangun malam untuk buang air kecil. Masalah itu menyebabkan penghidap OAB terpaksa remeh memikirkan lokasi tandas berhampiran tempat dituju. Akibatnya, mereka berasa tertekan, menyisihkan diri dan mengehadkan aktiviti yang menyebabkan kesejahteraan dan kualiti hidup terjejas.

9- Ramai penghidap OAB keberatan untuk mendapatkan rawatan walaupun sekian lama terganggu akibat desakan untuk ke tandas. Ada yang malu untuk membincangkan secara terbuka manakala ramai yang menyangka ia adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlukan perhatian dari segi perubatan.

10- OAB adalah penyakit yang boleh dirawat dengan bantuan perubatan. Malah amalan senaman yang betul seperti senaman Kegel untuk melatih otot pelvik, otot vagina; stimulasi elektrikal lantai pelvik selain terapi untuk melatih tabiat buang air kecil yang lebih sistematik boleh membantu.

11- Jenis ubatan yang digunakan untuk melegakan masalah kesihatan ini ialah Oxybutinin (Ditropan), Tolterodine, Darifenacin dan terbaru dalam kumpulannya ialah Solifenacin atau Vesicare.

9 Faktor Risiko OAB

# Usia yang lanjut (20% populasi berusia 70 ke atas mungkin akan melaporkan tanda OAB)

# Kecederaan saraf tunjang

# Penyakit Parkinson

# Diabetes

# Pembesaran prostat

# Hamil kembar

# Dementia

# Pembedahan prostat

# Strok

9 Tips Tangani OAB:

# Jauhi minuman kafein.

# Ambil kira jumlah pengambilan cecair dan waktu pengambilannya.

# Latih pundi kencing untuk melewatkan sedikit gesaan ke tandas apabila terasa ingin kencing.

# Amalkan pengambilan makanan yang kaya dengan serat atau ambillah makanan tambahan yang berserat.

# Jadualkan waktu untuk anda membuang air kecil setiap hari. Misalnya, setiap dua atau tiga jam sekali. Ia lebih baik daripada anda ke tandas hanya selepas terasa ingin membuang air kecil.

# Lakukan senaman otot lantai pelvik bagi menguatkan otot berkenaan dan saluran kencing anda.

# Pakai pelapik seluar dalam bagi mengelakkan anda terkucil.

# Sesetengah orang berhadapan dengan masalah untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya. Justeru, tunggu beberapa minit selepas membuang air kecil untuk membuang air kecil kali kedua. Ini bagi memastikan pundi kencing benar-benar kosong.


# Kekalkan berat badan yang ideal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...