Monday, March 31, 2014

Ajaibnya Secawan Teh O

Teks: Nor Razfizah


Minuman teh tarik amat popular di Malaysia sebagai minuman pilihan masyarakat pelbagai kaum. Teh banyak ditanam di tanah tinggi di seluruh dunia. Nama saintifik tumbuhan teh ini adalah ‘Camella sinensis’ yang menjadi asas kepada semua jenis teh.

Perbezaan rasa dan khasiat teh bergantung kepada tanah tempat ia ditanam, ketinggian tanah, cuaca dan proses penghasilan teh. Terdapat pelbagai jenis teh seperti teh hitam, teh hijau, teh putih dan sebagainya. Teh tidak mengandungi sebarang zat mineral, vitamin, protin, karbohidrat, garam, kolestrol atau lemak.

Kandungan kalorinya juga amat rendah iaitu hanya dua kalori setiap 237 gram. Ia juga mengandungi kafein. Teh mengandungi antioksidan yang tinggi iaitu polifenol dan flavanoid (theaflavin, epicatechin, epigallocatechin, epigallocatechin-3-gallate) yang memberikan teh khasiat kesihatan yang baik.

Kajian menunjukkan teh hijau mengandungi kandungan antioksidan yang lebih tinggi berbanding teh hitam. Antioksidan membantu melawan kesan radikal bebas yang merosakkan sel tubuh manusia. Menurut kajian oleh Dr J.Weissburger dari Institut of Cancer Prevention, New York, teh mengandungi antioksidan lapan hingga sepuluh kali lebih tinggi berbanding buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kajian beliau juga menunjukkan polifenol dalam teh mampu mencegah kerosakkan DNA akibat daripada merokok dan bahan kimia lain. Bagaimanapun, kajian juga menunjukkan apabila teh dicampur dengan susu atau krimer, maka kesan antioksidan akan berkurangan. Oleh itu, lebih baik minum teh ‘O’ daripada minum teh tarik.

Untuk mendapat faedah kesihatan lebih baik, maka minum teh tanpa gula adalah digalakkan seperti minum ‘teh cina’. Walaupun terdapat kajian mendapati tiada faedah kesihatan yang baik dengan minum teh tetapi terdapat lebih banyak kajian mendapati sebaliknya.

Kandungan antioksidan dalam teh dipercayai dapat menurunkan risiko mendapat penyakit jantung dan angin ahmar dengan menurunkan paras kolesterol, stres oksidatif dan meningkat pengaliran darah dalam pembuluh darah. Teh boleh mencegah masalah pengerasan saluran darah (atheroslcerosis) dan menurunkan paras trigliseride.

Lebih banyak kajian sains menunjukkan, jika seseorang minum teh setiap hari, dapat menurunkan risiko mendapat kanser, serangan jantung, darah tinggi, strok, menurunkan paras kolesterol LDL dan Alzheimer. Menurut analisa, meminum teh setiap hari boleh menurunkan risiko mendapat serangan jantung sehingga 11%.

Minum teh boleh mencegah kanser kerana antioksidan dalam teh akan melawan kesan radikal bebas yang boleh menyebabkan kanser selain boleh menurunkan risiko mendapat kanser ovari, peparu, mulut, kulit, pankreas, usus dan rektal.

Satu kajian ke atas perokok yang diberi minum teh hijau yang dinyah kafein sebanyak empat cawan setiap hari, mendapati terdapat 31% penurunan kerosakan DNA akibat merokok berbanding perokok diberi minum air kosong sahaja.

Hasil kajian juga mendapati pesakit yang sepatutnya menjalani rawatan di hospital akibat kanser payudara ini tidak berulang dan tempoh bebas kanser adalah lebih panjang. Kajian kepada 81,093 wanita yang minum teh setiap hari juga dapat mengurangkan risiko sehingga 8% mendapat batu karang buah pinggang manakala ke atas 46,289 lelaki mendapati penurunan risiko sehingga 14% mendapat masalah yang sama.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...