Saturday, April 18, 2015

Hikmah Dari Allah

Teks : Nor Razfizah Abd Razak

Alhamdulillah Syukur ke hadrat Allah SWT yang memberi pinjaman ilmu dan tenaga untuk memandaikan anak bangsa.

Sebelum ini saya titak pernah berkongsi tentang home tuition yang saya jalankan bermula bulan Jun 2014 hingga Ogos 2014 sebelum umat Islam menyambut hari lebaran. Sepanjang tempoh itu saya menjalankan dalam keadaan saya mengandungkan anak yang ketiga, Syarafuddin Bin Shamsudin.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

Asalnya, saya berhenti kerja pada bulan Mac 2014. Semasa itu, saya sedang mengandung, arwah ibu juga pergi meninggalkan saya pada bulan yang sama. Semasa perjalanan pulang dari  kenduri arwah ibu, saya menerima panggilan dari tempat kerja menyatakan keesokan harinya merupakan hari terakhir saya di situ. " Hello Fiza, esok hari last awak ye". Ya Allah, bagai gugur jantung. Mulut terkunci. Mata berkaca. Lalu dengan spontan, saya mengusap perut saya. Lantas saya mengucap dan beristigfar. Saya buntu. Hampir 9 tahun saya berkhidmat, akhirnya sampai ke garisan penamat. Lama juga saya mendiamkan diri. Hampir 2 bulan baru saya boleh mengatur semula kehidupan saya.

Bangkit dengan semangat yang positif, saya kembali mengatur kehidupan. Saya mempunyai lebih banyak masa di rumah. Lebih masa untuk menguruskan rumahtangga, menguruskan anak-anak. Ada masa untuk menyediakan makanan dan pakaian suami dan anak-anak. Paling penting, saya mempunyai masa dengan Yang Maha Pencipta. Saya mula berjinak-jinak dengan solat Dhuha.

Dhuha merupakan solat yang berkait rapat dengan rezeki. Magnet rezeki. Dipermudahkan mendapat rezeki. Rezeki tu maha luas. Bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit. Pada saya, masa yang berkualiti untuk keluarga merupakan rezeki yang paling indah. Dari buka mata hingga  tutup mata pelbagai kerja yang boleh saya lakukan. Setiap satunya saya mulakan dengan NamaNya, zikir Ya Latif, Bismillah memang tidak lekang dari bibir saya. Hatta melipat kain sekalipun.

Tetapi manfaat dan rezeki terbesar adalah saya mempunyai lebih masa untuk berhadapan & ber"dating" dengan Allah. Selesai urusan anak-anak ke sekolah, merupakan masa yang sunyi. Saya peruntukkan masa dalam satu jam untuk berhadapan denganNya. Boleh berDhuha dan memohon penuh kusyu'. Dhuha 2 rakaat hingga 4 rakaat dan selepas itu saya membaca surah Al Waqiah atau satu atau dua muka surat surah di mana saya berhenti. Antara surah yang yang lazim saya baca ialah Al Rahman, Al Waqiah dan Al Mulk.

JIka dulu masa bekerja makan gaji, waktu Dhuha ni memang sukar untuk dikerjakan. Pernah saya konsisten Dhuha masa bekerja selama 2 bulan. Tapi dalam keadaan tergesa-gesa dan was-was. Memang saya tahu saya menegrjakan suruhan Allah. Tapi dari sudut yang lain pula, saya saya bersalah kerana mengerjakan dalam waktu bekerja. Tiada dalam job scope saya. Saya seperti "mencuri" waktu bekerja walaupun pada waktu tu saya tidak sibuk dengan urusan kerja saya. Tetapi saya terfikir tentang wang gaji yang terima. Adakah ia berkat atau sebaliknya? Ya Allah... selepas tu, saya terus tak mengerjakan Dhuha dalam waktu bekerja lagi. Dhuha cuma di hujung minggu di rumah sahaja. Itupun kadang-kadang. Hujung minggu sibuk dengan urusan kerja rumah yang memang tidak pernah selesai. Masa tu la nak membasuh, mengemas, memasak, keluar membeli barang dapur, keluar bawa anak ke taman dan macam-macam lagi. Semua nak buat dalam 2 hari tu? memang tak terkejar.

Alhamdulillah rezeki masa yang tak bertepi banyak memberi manfaat buat saya sekeluarga.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...